Doktor, mari kita lestari bahasa Melayu

HASRAT beliau adalah mahu menganjurkan acara yang membincangkan isu kesihatan dalam bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa dalam tahun-tahun mendatang.

Ini kerana menurut pakar perbidanan dan sakit puan di Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph, isu-isu kesihatan semakin mendapat perhatian masyarakat Melayu sedang mereka semakin sedar dan prihatin tentang pentingnya menjaga kesihatan masing-masing.

“Lebih-lebih lagi jika isu-isu tersebut dikupas dan dijelaskan dalam bahasa Melayu bagi manfaat masyarakat agar lebih mudah untuk memahaminya,” kata Dr Jazlan, 43 tahun.

Berkongsi hasrat tersebut bersama Berita Harian baru-baru ini, Dr Jazlan, yang merupakan Duta Bahasa 2011, berkata ia merupakan satu sumbangan beliau dan rakan-rakan doktor Melayu lain kepada masyarakat, selain dapat melestarikan lagi bahasa ibunda sempena sambutan Bulan Bahasa. “Seperti Bulan Ramadan dan Hari Raya, Bulan Bahasa muncul setahun sekali.

Dan seperti Bulan Ramadan dan Hari Raya, Bulan Bahasa harus merupakan satu bulan yang dinanti-nantikan dan diraikan bersama. “Oleh kerana terdapat seorang lagi duta bahasa yang bergelar doktor perubatan (Dr Elly Sabrina), maka saya memendam hasrat untuk menganjurkan acara-acara yang menggabungkan isu kesihatan dan bahasa Melayu pada tahun-tahun mendatang.

“Saya harap dapat mengundang dan melibatkan para doktor Melayu, tidak kira yang mapan atau yang muda, asalkan fasih berbahasa Melayu untuk sama-sama menjayakan acara ini,” kata Dr Jazlan.

Hasrat tersebut, katanya, akan disampaikan kepada Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) kelak di mana beliau baru dilantik menjadi anggotanya Ogos lalu.

Dr Jazlan termasuk dalam kumpulan kedua seramai tiga personaliti yang dilantik sebagai Duta Bahasa sempena Bulan Bahasa pada 2011. Selain beliau, dua lagi adalah pelajar dan anak kepada penggiat seni Cik Marina Yusof, adik Noshin Putri Adel; dan arkitek serta personaliti media, Encik Khairudin Saharom.

Tahun ini, tiga personaliti – doktor, Dr Elly Sabrina Ismail; pendidik dan penggiat seni, Cik Asnida Daud; serta penyanyi dan penggubah lagu, Encik Zaibaktian Abu Bakar – telah dilantik, menjadikan kesemuanya 21 personaliti dilantik menjadi Duta Bahasa sejak 2010.

“Apabila diberitahu tentang pelantikan saya sebagai Duta Bahasa pada 2011, pada mulanya saya rasa terkejut kerana tidak sangka dipilih antara ramai lain yang layak.

“Namun perasaan ini kemudian berubah menjadi bangga, gembira dan terharu kerana diberi amanah dan kepercayaan memainkan peranan sebagai Duta Bahasa,” kata Dr Jazlan.

Penggunaan Bahasa Dalam Kerja Harian

Peranan yang digariskan adalah sebagai mewakili para karyawan di Singapura dan menyebarkan mesej untuk menggunakan bahasa Melayu sekerap mungkin dalam tugas dan kehidupan seharian,

“satu peranan yang baik dan murni lagi penting”, kata Dr Jazlan. “Saya akur dan yakin bahawa para doktor Melayu di Singapura, yang merawat, membimbing dan memberi nasihat kepada para pesakit Melayu, sedar dan sepakat bahawa penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu amat penting, berguna dan berkesan dalam tugas harian mereka.

“Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang di mana warga Singapura semakin lanjut usia dan kami sedang memberi tumpuan kepada golongan perintis,” kata Dr Jazlan. 

Demi memberi penjelasan dan nasihat yang lebih berkesan dan mudah difahami, maka doktor seperti beliau harus fasih dan yakin berbahasa Melayu dalam interaksi dan perbualan bersama pesakit.

“Secara peribadi saya rasa cukup puas hati dan bangga apabila berpeluang bertutur dalam bahasa Melayu dengan para pesakit saya serta ahli keluarga mereka.

“Dan secara jujur saya dapat rasakan dengan jelas bahawa para pesakit Melayu saya lebih senang meluahkan kebimbangan dan perasaan mereka dalam bahasa ibunda kita,” kata Dr Jazlan lagi.

Duta Bahasa Sepanjang Hayat

Mengenai khidmat Duta Bahasa yang tiada tarikh luputnya, Dr Jazlan berkata beliau bersedia melaksanakan peranan itu selagi terdaya dan masa mengizinkan, dan menerima pelawaan majlis dan acara sambutan Bulan Bahasa sekerap mungkin.

“Pihak penganjur harus sedar bahawa mereka tidak hanya terhad untuk mengundang para duta yang baru dilantik. Pilihan mereka kini lebih luas merangkumi seramai 21 Duta.

“Mungkin ada pihak penganjur yang segan atau keberatan mengundang duta yang dianggap terkenal atau tokoh personaliti kerana bimbang majlis yang dianjurkan tidak cukup gah untuk menepati darjat duta itu.

“Saya berpendapat perasaan ini harus dikikis. “Para penganjur tidak harus bersikap segan berkayuh, perahu hanyut. Para duta pula harus bersikap kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan,” kata Dr Jazlan.