Loader

Medical Conditions A - Z

Mers: Pandangan Islam langkah pencegahan

Mers: Pandangan Islam, langkah pencegahan

Panelis kongsi kepakaran dan pengalaman bagi panduan jemaah ke tanah suci 

EIRMA KAMARUDIN
irmak@sph.com.sg

APAKAH pandangan Islam mengenai wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) yang melanda Arab Saudi?

Bagaimana pula boleh anda mengambil langkah pencegahan, lebih-lebih lagi semasa menunaikan ibadat umrah semasa Ramadan, mengikut panduan Nabi?

Demikian antara soalan yang akan diketengahkan oleh Ustaz Firdaus Yahya semasa Forum Kesihatan Berita Harian di auditorium Singapore Press Holdings pada 21 Jun nanti.

Tema forum kesihatan kali ini, yang akan diadakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, menyentuh tentang Mers – Pencegahan dan Pengawasan. Ustaz Firdaus, 43 tahun, merupakan antara penceramah di forum tersebut yang akan mengetengahkan topik mengenai Mers dari sudut pandangan Islam.

Ini termasuk pandangan Islam mengenai wabak dan penyakit, langkah dan panduan pencegahan penularan wabak mengikut panduan Nabi serta nasihat bagi jemaah yang akan ke tanah suci.

Dua penceramah lain ialah pakar dalam Penyakit Berjangkit Novena Medical, Dr Koh Yin Ling, dan doktor kecemasan dalam perubatan evakuasi dari Hope Aero Medical Evacuation, Dr Faizal Kassim. Pakar jantung, Dr Abdul Razakjr Omar, juga bakal hadir sebagai panelis.

Dr Abdul Razakjr akan berkongsi pengalamannya ketika bertugas sebagai pegawai perubatan haji di Makkah. Menurut Ustaz Firdaus, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tanah suci, sebuah tempat yang selamat dan dilindungi, boleh dilanda wabak Mers.

Dari sudut pandangan Islam, Ustaz Firdaus berkata wabak tersebut merupakan satu ujian daripada Allah ke atas hampa-Nya. 

“Dari sudut agama, Allah boleh menguji manusia bila-bila masa saja. Saya akan bawa cerita tentang bagaimana Nabi kita juga diuji oleh Tuhan selama tiga tahun di Makkah, tanah suci.

Bagi kita orang biasa sudah pasti Allah akan uji. Jadi apa perlu kita buat kalau Allah uji sedemikian? Apa langkah-langkah pencegahan yang boleh kita buat?” kata beliau. Mengikut pendekatan agama, Ustaz Firdaus berkata umat Islam digalak tidak mengunjungi kawasan ataupun tempat yang sedang dilanda wabak ataupun penyakit.

Namun, dalam hal ini, umat Islam yang mahu menunaikan umrah ataupun haji tidak boleh mengelak daripada mengunjungi tanah suci. Oleh itu, beliau akan mengongsi panduan Nabi mengenai apa yang harus dilakukan jemaah yang berada dalam kawasan wabak.

Ustaz Firdaus menambah bahawa Islam juga menitikberatkan kebersihan. Oleh itu, beliau akan menyentuh tentang bab taharah, ataupun kebersihan dalam Islam, bagi memberi panduan bagaimana jemaah yang akan ke tanah suci boleh menjaga kebersihan dan kesejahteraan mereka.

Memberi nasihat, Ustaz Firdaus berkata jemaah yang akan ke tanah suci harus banyak berdoa meminta perlindungan. “Ikut nasihat pakar kesihatan serta apa yang perlu dibuat. Jaga kebersihan diri kerana ia sebahagian daripada keimanan.

Mudah-mudahan Allah lindungi kita daripada penyakit tersebut semasa kita berada di sana,” kata beliau. 

View the original article here.