Loader

Medical Conditions A - Z

Nak ke Makkah, khuatir tentang Mers?

Nak ke Makkah, khuatir Nak ke Makkah, khuatir tentang Mers?

Dr Faizal akan perjelas perbezaan simptom virus flu biasa dan virus flu rumit 

IRMA KAMARUDIN
irmak@sph.com.sg

TUGAS Dr Faizal Kassim membawa beliau ke serata dunia demi menyelamatkan nyawa.

Meskipun masanya tidak menentu, tugas itu memberi kepuasan kepada Dr Faizal, seorang doktor kecemasan dalam bidang perubatan evakuasi.

Bertugas bersama syarikat Hope Aero Medical Evacuation, beliau dipercayai satu-satunya doktor Melayu/Islam di Singapura dalam bidang itu.

Dr Faizal antara penceramah yang akan mengongsi kepakaran mereka dalam Forum Kesihatan Berita Harian pada 21 Jun di Auditorium Singapore Press Holdings (SPH).

Forum dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu akan membincangkan topik Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) – Pencegahan dan Pengawasan.

Dua penceramah lain yang diundang ialah pakar jangkitan penyakit berjangkit daripada Novena Medical Specialists, Dr Koh Yin Ling, dan pengurus pusat pendidikan Darul Huffaz, Ustaz Dr Firdaus Yahya.

Pakar jantung dari Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, akan menyertai mereka sebagai panelis dalam sesi soal jawab.

Tugas Dr Faizal, 37 tahun, ialah membawa pesakit dalam pesawat ke sini bagi mendapatkan rawatan.

Kadang kala, beliau juga menghantar pesakit dari Singapura pulang ke negara mereka. 

“Saya suka bertugas dalam situasi berlainan setiap hari. Saya ingin melihat pelbagai masyarakat yang berbeza, keadaan kehidupan yang berbeza, bekerjasama dengan doktor di luar negara dan cara setiap negara mengamalkan perubatan,” kata ayah empat anak kecil itu.

Menurut Dr Faizal, yang telah bertugas bersama Hope Aero Medical Evacuation sejak tujuh bulan lalu, kebanyakan pesakit yang diterbangkan ke Singapura mengalami kes rumit. 

Ini termasuk kes pendarahan otak dan pesakit memerlukan sistem sokongan hidup. 

Namun, terdapat juga kes mudah seperti deman denggi dan malaria.

Dr Faizal berkata pesakitnya terdiri daripada orang asing yang ingin mendapatkan rawatan di Singapura atau warga Singapura yang jatuh sakit atau ditimpa kemalangan di luar negara.

Dr Faizal terbang ke luar negara dua hingga tiga kali seminggu, dan antara negara yang telah dikunjunginya ialah Amerika Syarikat, Australia, India dan pulau-pulau kecil di Lautan Hindi, seperti kepulauan Cocos (Keeling) dan Diego Garcia. 

Menyentuh tentang Forum Kesihatan BH, Dr Faizal berkata beliau akan mengongsi mengenai tandatanda virus flu biasa dan virus flu rumit.

Beliau akan juga mengongsi panduan mengenai apa yang harus dilakukan jemaah umrah dan haji, terutama yang berisiko tinggi, seperti berpenyakit semput atau perokok, sekiranya mereka mengalami tanda flu berpanjangan.

Selain itu, Dr Faizal akan menerangkan langkah-langkah pencegahan yang harus diambil jemaah sebelum berangkat ke tanah suci demi mengurangkan risiko menghidapi virus flu.

“Orang ramai harus berhati-hati apabila mereka ke Timur Tengah. Jika mereka pulang ke tanah air dan dijangkiti flu, mereka harus berjumpa doktor dan mendapatkan ubat.

“Sekiranya selepas dua, tiga hari flu tidak berhenti dan menjadi teruk, mereka harus bertemu doktor sekali lagi,” kata beliau. 

View the original article here.