Sakit Rahim Begitu Keterlaluan Hingga Pengsan

Sakit Rahim Begitu Keterlaluan Hingga Pengsan

Senaman dan angkat berat merupakan amalan biasa bagi Cik Namira Mohamad Marsudi sejak tiga tahun lalu.

Namun, di sebalik tubuh yang berotot itu, timbul masalah kesihatan yang telah lama membelenggu gadis berusia 28 tahun itu.

Setiap kali terasa sakit di bahagian rahim atau ususnya, Cik Namira pasti menghadapi kesukaran bergerak ke mana-mana.

Masalahnya begitu teruk sehinggakan beliau pernah beberapa kali pengsan – baik di rumah mahupun di luar.

Biasanya, masalah tersebut akan timbul seminggu sebelum datang haidnya dan akan menjadi lebih teruk pada tiga hari pertama gadis itu kedatangan haid.

Yang pasti, rasa sakitnya itu sama seperti sakit senggugut yang dialami ramai wanita yang kedatangan haid. Sebaliknya, ia merupakan penyakit endometriosis – satu keadaan di mana sel-sel daripada lapisan rahim, yang biasanya keluar sebagai darah haid dalam setiap putaran haid, membiak dalam kawasan luar rahim.

“Apabila masalah ini timbul, Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya bahagian rahim, pinggul atau usus saya. “Malah, belakang tubuh juga terasa sakit selain tubuh mudah penat,” jelasnya.

Menurut anak bongsu dua beradik itu lagi, meskipun masalah itu dikesan dua tahun lalu, beliau berasakan hal itu telah dihidapinya sejak 10 tahun lalu. 

Malangnya, sepanjang tempoh itu beliau hanya mengambil ringan masalah tersebut kerana menyangka ia sama seperti yang dialami ramai wanita lain.

Disebabkan beliau tidak mempedulikan masalahnya itu, keadaan menjadi semakin serius. “Sebab terlalu sakit, saya pernah pengsan semasa di stesen MRT, dan semasa menuju ke klinik.

“Tapi kalau pengsan di rumah itu sudah berulang kali ia berlaku,” jelas kakitangan sumber manusia di sebuah syarikat itu lagi. Akibatnya, beliau kerap mengambil cuti sakit.

“Sehinggakan saya telah diberhentikan kerja sebelum bekerja di tempat baru ini akibat masalah kesihatan saya itu,” katanya lagi.

Sehingga kini, Cik Namira masih tidak tahu punca sebenar masalah tersebut yang sudah berada di tahap paling serius dan menyatakan bahawa ibu atau kakaknya langsung tidak mengalaminya.

“Ia tidak akan menjadi seburuk ini sekiranya saya mendapatkan rawatan daripada pakar yang benar-benar tahu akan masalah ini,” katanya lagi.

Endometriosis merupakan sejenis penyakit yang menjejas sekitar 10 peratus wanita. Sehingga 30 peratus wanita mengadu terasa sakit semasa kedatangan haid dikesan menghidap endometriosis.

Namun, penyakit itu biasanya tidak dikesan kerana ia juga mungkin wujud di kalangan wanita yang mengalami petanda lain yang tiada kaitan dengan masalah haid atau kurang rasa tidak selesa semasa kedatangan haid.

Pakar perbidanan di Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph, berkata endometriosis hanya menjejas kaum wanita dalam peringkat usia reproduktif iaitu sejak usia mulanya akil baligh hingga ke usia menopos. 

“Penyakit endometriosis boleh dibandingkan dengan penyakit barah. “Ia boleh membiak, merebak dan membinasakan selain memusnahkan organ-organ reproduktif wanita seperti saluran telur dan ovari.

“Lantaran itu, penyakit endometriosis berkait rapat dengan masalah ketidaksuburan.

“Namun, tidak seperti penyakit barah, endometriosis jarang sekali boleh mendatangkan maut.

Penyakit ini akan pudar dan hilang secara semula jadi setelah mencapai usia menopos,” katanya. Dr Jazlan menambah punca penyakit endometriosis masih menjadi tanda tanya. 

Menurutnya, terdapat beberapa teori mengenai asal usul penyakit tersebut, namun puncanya dan mengapa ia berlaku masih tidak jelas.

Yang jelas ialah hanya berlaku apabila hormon-hormon seks wanita aktif di dalam tubuh, katanya lagi.

Endometriosis menyakitkan, kata Dr Jazlan lagi. “Kesakitan yang dirasai boleh berbentuk senggugut atau sakit semasa haid (dysmenorrhea), sakit semasa bersatu atau dyspareunia, sakit semasa buang air kecil atau dysuria, sakit semasa buang air besar atau dyschezia dan sakit di bahagian pelvis dan pinggul tanpa sebarang sebab atau punca yang jelas (chronic pelvic pain).

“Penyakit endometriosis tahap lanjut boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan,” ujar Dr Jazlan lagi.

Sementara itu, bagi mengatasi rasa sakitnya, Cik Namira berkata beliau diberi ubat pelali sakit.

“Tapi saya tidak boleh bergantung pada ubat pelali sahaja. “Sebagai satu cara untuk mengatasi rasa sakit, saya banyakkan bersenam selain memantau diet pemakanan.

“Inilah satu cara saya hilangkan rasa sakit itu dengan menumpukan segala tenaga kepada senaman termasuk angkat berat,” ujarnya lagi. ​

Fakta Endometriosis

  • Penyakit endometriosis adalah satu keadaan di mana sel-sel daripada lapisan rahim, yang biasanya keluar sebagai darah haid dalam setiap putaran haid, membiak dalam kawasan luar rahim.
  • Tompok-tompok endometriosis boleh terdapat di saluran telur, ovari, usus, pundi kencing dan dinding pelvis.
  • Dalam keadaan yang agak teruk, tompok-tompok endometriosis boleh merebak jauh sehingga organ otak, mata dan paru-paru.
  • Jika ia membiak di organ ovari, maka kista endometriosis atau endometriotic cyst boleh terbentuk.
  • Dalam tahap awal, penyakit endometriosis tidak menimbulkan sebarang simptom. Ia boleh menyepi selama bertahun-tahun.
  • Pada tahap lanjut, penyakit endometriosis boleh menyebabkan pelbagai simptom dan rata-rata petanda sejagat yang berkaitan dengan endometriosis ialah sakit.​​​​
  • Faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan endometriosis adalah:
  1. wanita yang belum pernah hamil;
  2. sejarah penyakit serupa dalam keluarga terutama ibu, adik-beradik perempuan atau mak cik;
  3. sebarang masalah kesihatan yang menyekat pengaliran darah haid secara sempurna;
  4. jangkitan di bahagian pelvis tidak kira sama ada berhubungan atau tiada hubungan dengan kegiatan seks; atau
  5. masalah kecacatan rahim. ​​​​