Teruskan niat dapat anak walau lewat dirikan rumah tangga

berita harian article dr jazlan joosoph 27 may 2019

DR JAZLAN JOOSOPH: Ujian tersedia untuk mengesan masalah ketika hamil pada usia senja.

JIKA anda seorang isteri berusia 35 tahun ke atas dan belum berjaya hamil setelah mencuba sekurang-ku- rangnya enam bulan, anda digalakkan menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan menjalani pemeriksaan kesuburan.

Bagi pasangan lebih muda mereka boleh mencuba selama setahun sebelum menemui doktor jika masih tidak berjaya.

Jika mempunyai masalah kesihatan pula mereka dinasihatkan berjumpa doktor lebih segera agar tahap kesuburan mereka tidak terjejas.

Bagi yang lambat mendirikan rumah tangga usah batalkan niat menimang cahaya mata, sebaliknya teruskan keinginan itu.

Demikian nasihat Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph, ketika menerangkan tentang masalah kesuburan dan kaitannya dengan usia wanita.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Jazlan berkata bahawa tempoh ketidaksuburan seseorang adalah salah satu faktor penting yang menjejas peluang hamil.

“Lebih lama tempoh ketidaksuburan, lebih suram jangkaan bagi meraih kejayaan menggunakan rawatan membantu kehamilan,” katanya.

Kesuburan seseorang bergantung pada usianya, jelasnya.

Bagi wanita, bilangan telur yang bermutu akan berkurangan dan ovari akan berhenti menghasilkan telur menjelang usia putus haid iaitu sekitar 50 tahun.

Bagi lelaki, bilangan dan mutu sperma turut berkurangan dengan usia yang meningkat.

Golongan lebih berusia juga lebih mengalami penyakit yang boleh menjejas kesuburan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit ginjal dan penyakit jantung.

Masalah seksual seperti mati pucuk dan kekurangan nafsu turut lebih kerap berlaku pada usia lanjut.

Namun, masih terdapat pasangan yang menimang cahaya mata pada usia lanjut – sama ada zuriat itu dikandungkan secara normal atau dengan bantuan rawatan membantu kehamilan.

Menurut Perangkaan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2014 yang dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), seramai 10,419 bayi dilahirkan oleh wanita berusia 35 tahun ke atas pada tahun itu.

Bilangan itu membentuk hampir 25 peratus jumlah kelahiran pada tahun tersebut.

Daripada jumlah itu, 8,799 bayi dilahirkan oleh wanita berusia antara 35 dengan 39 tahun dan 1,566 bayi dilahirkan oleh ibu berusia antara 40 dengan 44 tahun.

Seramai 52 bayi pula dilahirkan wanita berusia antara 45 dengan 49 tahun, manakala dua bayi dilahirkan wanita berusia antara 50 dengan 54 tahun.

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan berita seorang wanita India yang melahirkan bayi lelaki pada usia 70 tahun menyusuli kaedah persenyawaan in vitro (IVF). Suaminya berusia 79 tahun.

Penyanyi Janet Jackson, yang baru menyambut ulang tahunnya yang ke-50 minggu lalu, pula telah mengumumkan beliau hamil. Suaminya berusia 41 tahun.

Walaupun kehamilan pada usia lewat mempunyai banyak risiko seperti keguguran dan bayi mengalami Sindrom Down, Dr Jazlan berkata kebanyakan kandungan tetap normal dan sempurna.

Beliau malah menggalakkan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia lewat agar meneruskan niat menimang cahaya mata.

“Dapatkan khidmat dan kepakaran bagi meningkatkan peluang mendapat zuriat. Jika perlu, jalani rawatan kesuburan. Ujian tersedia bagi mengesan masalah ketika hamil pada usia senja,” kata Dr Jazlan.

Pelbagai rawatan membantu kehamilan boleh dicuba pasangan yang sukar mengandung secara normal.

Rawatan mudah termasuk memakan suplemen, vitamin dan ubat, manakala yang rumit termasuk IVF dan intrauterine insemination (IUI) yang melibatkan kaedah memasukkan sperma ke dalam uterus wanita untuk membantu kehamilan.

Rawatan paling popular dan berkesan di kalangan wanita berusia lebih 40 tahun ialah IVF, menurut Dr Jazlan.

Namun, di Singapura, rawatan IVF hanya dibenarkan bagi wanita berusia 45 tahun ke bawah.