Usah Kunjungi Luar Kawasan Ibadah

Usah Kunjungi Luar Kawasan Ibadah

JEMAAH yang bakal menunaikan umrah dinasihati agar tidak mengunjungi tempat-tempat di luar kegiatan ibadah, seperti ladang ternakan, bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers).

Demikian nasihat pakar jangkitan penyakit berjangkit dari Novena Medical Specialists, Dr Koh Yin Ling, 38 tahun, bagi mereka yang akan berangkat ke tanah suci. Dr Koh antara penceramah yang akan menyampaikan nasihat dan panduan langkah pencegahan berkaitan Mers semasa Forum Kesihatan Berita Harian (BH) pada 21 Jun ini di auditorium Singapore Press Holdings.

Forum kali ini, yang akan membincangkan Mers – Pencegahan dan Pengawasan, juga menampilkan dua lagi penceramah, Pengurus Darul Huffaz, Ustaz Dr Firdaus Yahya; dan doktor kecemasan dalam bidang perubatan evakuasi, Dr Faizal Kassim.

Pakar jantung Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar – panelis dalam sesi soal jawab – pula akan berkongsi pengalamannya menjadi pegawai perubatan di Makkah. Menurut Dr Koh, beliau akan berkongsi tentang virus Mers serta penjangkitannya, tanda-tanda dan cara mengurangkan risiko dijangkiti virus tersebut.

Memberi penjelasan, Dr Koh berkata Mers sejenis jangkitan virus.

Namun, ia tersebar dek jenis virus yang berlainan dan boleh menjadi satu kebimbangan kerana mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding influenza, juga sejenis virus flu.

Namun begitu, Dr Koh berkata wabak tersebut tidak mudah berjangkit. “Sejauh ini, virus Mers dijangkiti menerusi hubungan rapat dengan seseorang yang mempunyai Mers, seperti menjaga atau hidup bersama pesakit Mers. Ada juga pekerja jagaan kesihatan yang menjaga pesakit Mers dijangkiti.

“Buat masa ini, pemahaman mengenai penjangkitan belum lagi selesai. Ia dijangkiti daripada orang ke orang, namun tidak semudah virus-virus yang lain,” katanya.

Dr Koh juga menjelaskan bahawa sukar membezakan Mers dan penyakit virus flu biasa yang lain berdasarkan tanda-tanda penyakit sahaja kerana semuanya hampir sama. Cara mengesan sama ada seseorang dijangkiti virus Mers adalah melakukan ujian ke atas sampel rembesan pernafasan.

Dr Koh menambah, menurut maklumat terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 683 kes Mers yang disahkan makmal dan 204 kematian, justeru menjadikan kadar kematian mencecah 30 peratus.

Beliau menasihati mereka yang akan berangkat ke Timur Tengah supaya mengambil langkah berjaga-jaga. Antaranya ialah memastikan mereka dalam keadaan kesihatan yang baik dan mengunjungi doktor bagi mendapatkan suntikan flu.

“Saya menasihati agar mereka yang berada di Timur Tengah supaya menjaga kebersihan, seperti kerap mencuci tangan dan menutup mulut apabila bersin atau batuk. Elakkan kegiatan seperti mengunjungi ladang dan bersentuhan dengan haiwan,” kata beliau.