Tiga kerumitan yang boleh jejas bayi dilahirkan ibu diabetik

berita harian article dr jazllan joospoh sep 20 2017

PENYAKIT kencing manis atau diabetes kini semakin mendapat perhatian. Ia merupakan masalah peringkat nasional yang kebelakangan ini telah diberi tumpuan khas oleh pemerintah.

Statistik nasional menunjukkan kaum Melayu merupakan antara yang paling terjejas oleh penyakit ini berbanding kaum lain.

Yang menjadi keprihatinan adalah dalam jangka masa panjang, kencing manis boleh menyebabkan pelbagai kerumitan yang menjejas pelbagai sistem dan organ tubuh termasuk jantung, ginjal, otak, hati, mata, urat saraf, kaki dan kulit.

Ia boleh mengakibatkan serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi, kerosakan ginjal, buta dan jangkitan sehingga menyebabkan pembedahan memotong jejari dan kaki.

TIGA JENIS PENYAKIT KENCING MANIS

Terdapat tiga jenis penyakit kencing manis.

Penyakit kencing manis jenis 1 atau type 1 diabetes adalah jenis yang berketurunan dan tidak dapat dicegah.

Penyakit kencing manis jenis 2 atau type 2 diabetes adalah jenis yang paling lazim dan boleh dicegah.

Penyakit kencing manis yang dikesan ketika hamil atau gestational diabetes pula berlaku kerana wanita hamil tidak dapat menghasilkan hormon insulin yang mencukupi untuk mengawal kadar gula dalam darah dan tubuh.

Rencana ini memberi tumpuan kepada penyakit kencing manis yang hanya dikesan ketika hamil atau lebih dikenali sebagai gestational diabetes mellitus (GDM).

KESAN GDM

Masalah-masalah utama yang dikaitkan dengan GDM adalah seperti berikut:

  • Macrosomia atau kelahiran bayi yang mempunyai berat badan yang besar.
  • Shoulder dystocia atau masalah kelahiran bayi yang bahunya terperangkap.
  • Stillbirth atau kematian dalam kandungan

Kadar kerumitan yang menjejas bayi yang dilahirkan ibu yang menghidap kencing manis atau infant of diabetic mother (IDM) bergantung kepada bukan hanya kawalan kadar gula dalam darah, malah komplikasi kehamilan lain yang mungkin dialami ibu.

Ini seperti penyakit pre-eclampsia yang biasa menjejas ibu hamil yang menghidap kencing manis.

Salah satu tanda penyakit pre-eclampsia adalah tekanan darah tinggi pada tempoh separuh masa kedua ketika hamil. Keadaan ini berbahaya dan boleh memudaratkan ibu hamil serta kandungannya.

Meskipun terdapat kemajuan dalam strategi mengawal dan merawat penyakit kencing manis ketika hamil, disamping kepakaran jagaan bayi dengan peralatan yang canggih, bayi IDM tetap berdepan dengan risiko kematian sehingga 5 peratus.

Bayi IDM yang terjejas dengan macrosomia menghadapi bahaya mengalami pelbagai gangguan kesihatan seperti kesesakan nafas, paras gula yang terlalu rendah dan sakit kuning.

MACROSOMIA

Disebabkan tubuh badan yang terlalu besar, bayi IDM yang terjejas dengan macrosomia juga mungkin tidak selamat atau tidak boleh dilahirkan secara normal, sebaliknya perlu dilahirkan menerusi pembedahan caesarean section.

Jika bayi macrosomia dilahirkan secara normal, kecederaan dan kemalangan yang berkaitan dengan shoulder dystocia boleh berlaku.

Situasi sebegini adalah satu kecemasan darurat di mana kepala bayi dapat dilahirkan, tetapi bahunya terperangkap dan tidak dapat dilahirkan.

Langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk mengeluarkan bayi dengan segera boleh mencederakan si ibu dan juga bayinya.

Yang paling serius adalah kecederaan pada urat saraf bayi sehingga boleh menyebabkan kelumpuhan lengan dan tangan bayi.

MASALAH PERNAFASAN

Bayi IDM boleh mengalami masalah kesesakan nafas dan paras oksigen yang rendah dalam darah akibat masalah paru-paru yang tidak berupaya berfungsi dengan baik.

Tahap kematangan paru-paru tersekat disebabkan kesan penyakit kencing manis ibu yang mempengaruhi proses penghasilan sejenis kimia yang dinamakan surfactant.

Bahan kimia ini penting untuk memastikan saluran dan ruang udara dalam paru-paru bayi dapat berkembang dengan luas dalam melaksanakan peranannya membekal oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida dari seluruh tubuh.

AKHIR KATA

Strategi menangani penyakit kencing manis termasuk pencegahan, pendidikan dan pengawalan awal. Justeru, usah ambil sikap sambil lewa. Kita harus tekun dan teliti dalam menangani masalah ini.